Ahad, 31 Januari 2010

Sekolah, guru dilarang tambah cuti Aidilfitri

PPD tolak permohonan berlandaskan arahan pekeliling

KUALA TERENGGANU: Mungkin disebabkan kesilapan kecil, tetapi ketiadaan cuti peristiwa sekolah sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini menyebabkan pentadbir sekolah dan guru kebingungan untuk mendapatkan cuti berkenaan.

Mengikut pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran pada 21 Disember 2009 dan boleh diakses di laman web www.moe.gov.my., sekolah di seluruh negara dibenar mengambil cuti peristiwa tahun ini untuk perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan (Sabah dan Labuan) dan Hari Gawai (Sarawak).

Bagaimanapun, agak mengejutkan bagi banyak pihak apabila cuti peristiwa tidak dibenarkan untuk Aidilfitri.

Berbanding cuti ganti, cuti peristiwa adalah cuti yang boleh diambil sekolah tetapi tidak perlu diganti seperti pada Sabtu yang biasa dilaksanakan selama ini.

Seorang pengetua yang tidak mahu dikenali berkata, majoriti pentadbir sekolah di negeri ini mendapati pekeliling itu agak pelik berbanding sebelum ini.

Pada mulanya, beliau berkata, semua pentadbir sekolah beranggapan berlaku kesilapan pada pekeliling Kementerian Pelajaran itu dan membuat permohonan untuk mendapatkan cuti peristiwa bagi sekolah masing-masing untuk Aidilfitri tahun ini.

"Bagaimanapun, kami terkejut apabila Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) menolak permohonan cuti peristiwa dengan alasan penolakan itu berlandaskan pekeliling berkenaan.

"Selepas itu, baru kami menyedari pekeliling itu adalah betul dan bukannya kesilapan Kementerian Pelajaran," katanya.

Katanya, cuti peristiwa perlu berikutan Aidilfitri adalah antara perayaan agama yang penting bagi majoriti penduduk di negara ini, terutama di negeri ramai Melayu seperti Kelantan dan Terengganu.

"Dengan majoriti pelajar di Pantai Timur adalah Melayu, ketiadaan cuti peristiwa adalah sesuatu yang pelik tetapi pada masa sama, memberikan cuti itu bagi perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan atau Hari Gawai," katanya.

Seorang lagi pengetua sekolah berkata, keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sebelum ini, tidak pernah ada masalah untuk kami memohon cuti peristiwa untuk hari raya, tetapi saya yakin ini mungkin kesilapan dan kementerian akan dapat mengatasinya.

"Tidak masuk akal jika kementerian dengan sengaja mengecualikan Aidilfitri daripada mendapat cuti peristiwa itu," katanya.

Aidilfitri tahun ini dijangka pada 10 dan 11 September iaitu Jumaat dan Sabtu, dua hari terakhir cuti pertengahan penggal selama seminggu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Berikutan keputusan kementerian untuk tidak membenarkan cuti peristiwa pada perayaan Aidilfitri, orang ramai terutama pelajar dan guru sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu kembali bertugas semula pada Hari Raya ketiga iaitu pada Ahad.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20100130225950/Article/

Khamis, 28 Januari 2010

Kementerian Pelajaran terima bantuan tambahan RM700j

CEBU 27 Jan. - Kementerian Pelajaran dijangka menerima bantuan tambahan sebanyak kira-kira RM700 juta bagi membolehkan bantuan untuk pendidikan yang dikurangkan pada Bajet 2010 lalu, diteruskan semula.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu adalah perkiraan kasar yang dibuat kementerian beliau selepas Kabinet hari ini bersetuju meluluskan usul menimbangkan semula pemberian bantuan itu.

Beliau pada mesyuarat Kabinet itu diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas sebagai Menteri Pelajaran.

"Kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan berapa bantuan yang disediakan semula itu supaya mana-mana bantuan yang terpaksa kita kurangkan sebelum ini boleh dilaksanakan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45.

Pada pembentangan Bajet 2010 lalu, kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan tahunan bagi sekolah-sekolah berbanding tahun sebelum ini kerana defisit yang didepani negara.

Pengurangan bantuan itu mencakupi enam perkara iaitu skim bantuan tuisyen, bantuan pakaian sekolah beruniform, bantuan makanan asrama dan rancangan makanan tambahan.

Turut dikurangkan ialah bantuan elaun murid berkeperluan khas dan sukan serta kokurikulum.

Menurut Muhyiddin, keputusan memberikan semula bantuan bagi pendidikan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan kerana memberi perhatian sewajarnya kepada perkara tersebut.

"Harapan saya isu bantuan kepada pendidikan selepas ini tdak lagi berbangkit di kalangan ibu bapa dan para pelajar pula tidak menjadikannya alasan untuk meneruskan pembelajaran dengan sempurna," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm