Isnin, 1 Februari 2010

JPN pantau agihan KWAPM pelajar tercicir

JPN pantau agihan KWAPM pelajar tercicir

KOTA BHARU 31 Jan. - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan memantau agihan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) melibatkan pelajar yang tercicir daripada senarai penerima tahun lepas sebagai langkah menjaga kebajikan pelajar yang benar-benar layak.

Kegagalan bantuan tersebut dikhuatiri akan menjejaskan persekolahan pelajar yang sebelum ini bergantung kepada sumbangan KWAPM.

Ketua Pengarahnya, Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, usaha tersebut dibuat kerana terdapat jurang perbezaan yang ketara dalam bilangan penerima KWAPM tahun lepas iaitu sekitar 4,000 pelajar dibandingkan lebih 100,000 pelajar pada tahun sebelumnya.

"Jabatan mencadangkan mana-mana pelajar dalam kriteria miskin dibanci dan diberi tempoh untuk memohon semula bantuan tersebut bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

"Bagi JPN, kebajikan pelajar adalah keutamaan dan mana-mana pelajar yang tercicir daripada senarai disarankan mendaftar di E-Kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang menyenaraikan nama rakyat yang berpendapatan rendah melalui senarai itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Perkembangan Pendidikan Parlimen Pengkalan Chepa anjuran UMNO bahagian di sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO bahagian Dali Hussin dan Ketua Wanita UMNO bahagian tersebut, Zarina Euosope.

Ditanya mengenai kemungkinan ada keluarga yang memalsukan identiti anak-anak supaya tersenarai dalam kumpulan yang layak menerima bantuan, beliau tidak menafikan wujud budaya tersebut.

"Tidak dinafikan terdapat golongan yang mengambil kesempatan daripada peluang yang dibuka oleh kerajaan terutama apabila agihan KWAPM juga dikenal pasti melalui E-Kasih dan bukannya melalui pihak sekolah yang lebih maklum mengenai latar belakang pelajarnya," ujarnya.

Mohd. Ghazali menambah, pihaknya juga akan mengambil tindakan tatatertib kepada mana-mana pegawai di jabatannya sekiranya terlibat dalam mengemukakan maklumat dan latar belakang palsu murid yang mendaftar di E-Kasih.

"Jika ada bukti pegawai di jabatan terlibat, tindakan tegas akan diambil untuk mewujudkan ketelusan di kalangan kaki tangan awam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_07.htm

0 ulasan:

Catat Ulasan